Lambang keperibadian melalui Minyak wangi


Haruman sebahagian daripada gaya peribadi dan ia mempunyai impak besar terhadap penampilan serta pandangan orang terhadap diri kita.
Semburan minyak wangi yang sesuai bukan saja mampu membuatkan seseorang kelihatan lebih menarik, tetapi juga boleh menghilangkan tekanan seharian selain membantu menjadikan diri lebih berkeyakinan.
Deria bau yang 150,000 kali lebih sensitif berbanding deria penglihatan boleh mewujudkan ikatan penuh emosi dengan orang lain.
Anda tentu pernah teringat kepada seseorang atau suatu memori indah secara tiba-tiba apabila terhidu bau tertentu.
Wangian ialah campuran kompleks beberapa bahan mentah yang diadun antara sumber semula jadi dan sintetik dengan kandungan berbeza hingga menghasilkan bau tertentu.
Biarpun beberapa orang menggunakan minyak wangi yang sama, tetapi bau haruman berkenaan tetap berbeza kerana ia akan bercampur dengan bau semula jadi tubuh seseorang.
Bagaimanapun, kadangkala kita berasa keliru mengenai wangian yang perlu dipilih kerana terdapat ratusan jenama minyak wangi dalam botol cantik dengan beberapa jenis haruman di pasaran terdiri daripada Parfum, Eau De Parfum (EDP), Eau De Toilette (EDT) dan Eau De Cologne (EDC).
Berikut tujuh tip pemilihan haruman yang boleh dijadikan panduan bagi lelaki dan wanita untuk memilih haruman paling sesuai untuk mereka.
1. Diri anda sendiri penentu kepada jenis haruman yang sesuai kerana otak akan memproses bau dan sebarang haruman yang membuatkan diri kelihatan gembira dan tenang, adalah paling sesuai.
2. Jangan sesekali membiarkan orang lain membuat pilihan haruman untuk anda kerana akhirnya anda tidak akan menggunakannya kerana ia dirasakan tidak sesuai dengan selera.
3. Dapatkan seberapa banyak maklumat daripada orang sekeliling tetapi sekiranya lebih ramai yang memberikan pandangan negatif mengenai haruman yang dipilih, anda seharusnya mencuba sesuatu yang baru.
4. Jangan membeli secara membuta tuli ataupun melalui saranan orang lain, tanpa mencuba terlebih dulu. Cara terbaik memilih minyak wangi sesuai dengan menguji sama ada ia serasi dengan bau badan semula jadi melalui aktiviti yang dilakukan sepanjang hari.
5. Maksimum minyak wangi yang boleh dicuba pada satu-satu masa ialah empat supaya tidak tersilap memilih kerana terlalu banyak memproses bau. Jangan beli sehingga sudah membuat keputusan tepat.
6. Cuba minyak wangi dengan menyemburnya pada lengan dan di bahagian dalam siku untuk mendapatkan bau serasi. Jangan mencuba bau yang disembur pada kertas kerana baunya tidak akan sama apabila ia disembur pada badan.
7. Ketika mencuba wangian, bau sesuatu yang kuat seperti kopi sebelum mencuba haruman lain bagi mengelak deria bau menjadi keliru dan hilang fokus.
Jenis minyak wangi
Masih tidak pasti jenis minyak wangi mana yang sesuai dengan anda? Jangan susah hati. Berikut dihuraikan jenis minyak wangi dan cara memilih haruman yang sesuai dengan aktiviti harian serta cita rasa masing-masing.
1. Parfum
Ia wangian paling kuat ada di pasaran kerana kepekatan minyak wangi di dalamnya lebih tinggi iaitu antara 15 hingga 30 peratus, menjadikannya bertahan sehingga enam jam dan boleh dipakai dalam kuantiti yang sedikit.
2. Eau De Parfum (EDT)
Ia lebih ringan dengan kandungan kepekatan minyak antara lapan hingga 15 peratus dan mampu bertahan mengharumkan seseorang antara tiga ke lima jam.
Bagi yang menggunakan EDT, haruman itu memiliki kandungan antara empat hingga lapan peratus minyak wangi dan mampu bertahan kira-kira dua hingga empat jam.
3. Eau De Toilette (EDC)
Jenis ini pula yang selalunya lebih dikenali sebagai cologne, ialah haruman paling ringan kerana hanya mempunyai kepekatan minyak wangi antara tiga ke lima peratus dan boleh bertahan sehingga dua jam sebelum ia perlu disembur semula.
Jangka hayat
Minyak wangi ada tiga kitaran jangka hayat, bermula dari semburan awal sehinggalah ia meninggalkan bau paling asas dalam formulanya.
Bagi bau yang terbit sebaik kita menekan punat botol minyak wangi, ia lebih ringan dan bertahan antara 15 minit hingga dua jam.
Selalunya bau terawal minyak wangi yang dihidu terdiri daripada bau bunga-bungaan, sitrus, buahan, bedak dan rempah.
Kemudian, bau not kedua menyusuli dan selalunya elemen terpenting dalam minyak wangi. Sebaik not haruman awal pudar, not kedua terbit dan akan bertahan antara tiga hingga lima jam selepas disembur.
Ia selalunya bau bunga-bungaan, buah-buahan atau rempah yang lebih pekat.
Akhir sekali haruman not asas iaitu lebih pekat dan menarik perhatian serta mampu bertahan antara lima hingga 10 jam. Baunya terdiri daripada kayu gaharu, vanila, tar, kulit, tembakau atau musk.
Haruman memang subjektif dan mengikut cita rasa masing-masing, namun bau paling ‘selamat’ untuk lelaki atau wanita adalah yang berasaskan bunga-bungaan ataupun buah-buahan. Bagaimanapun bagi yang berjiwa ‘kental’ atau lebih berkeyakinan biasanya memilih bauan yang kuat dan bersifat kayuan.

Share on Google Plus

About kraiboy

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan