Pentingnya makanan seimbang dan berkhasiat untuk warga emas


Mengambil makanan seimbang dan berkhasiat memang penting untuk warga emas bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan.
Seperti golongan muda, warga emas juga memerlukan nutrien khusus kerana penuaan mempengaruhi proses penyerapan mineral serta penggunaan dan perkumuhan dalam badan.
Untuk itu, kombinasi makronutrien, vitamin, mineral, serat dan air sangat penting untuk membekalkan nutrien mencukupi bagi warga emas.
Makronutrien
Sebahagian besar nutrien dalam diet seseorang terdiri daripada makronutrien. Ia terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu karbohidrat, protein dan lemak. Setiap makronutrien terbabit membekalkan kalori, tetapi dalam jumlah berbeza.
Karbohidrat membekalkan empat kalori bagi setiap gram, protein pula empat kalori setiap gram dan lemak sembilan kalori setiap gram.
Serat
Serat adalah sebahagian daripada komponen tumbuhan yang tidak boleh dihadam oleh sistem penghadaman manusia.
Ia hanya terdapat dalam tumbuhan seperti buah-buahan, sayuran, kacang dan bijirin. Antara kebaikannya adalah mencegah sembelit dan mengurangkan paras kolesterol dalam darah.
Ia juga mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser contohnya kanser kolon.
Warga emas pula disarankan supaya mengambil kandungan serat sebanyak 20 hingga 30 gram
sehari.
Vitamin dan mineral penting bagi warga emas
Warga emas mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami kekurangan vitamin dan mineral serta lebih mudah mendapat beberapa jenis penyakit seperti gastritis, anemia dan penyakit tulang.
Vitamin A misalnya diperlukan badan bagi fungsi penghasilan pigmen retina (mata) juga membantu sistem imun badan berfungsi dengan baik.
Antara sumber utama vitamin ini ialah hati ayam, hati lembu, telur, susu penuh krim, ikan bawal hitam, ikan kembung dan susu tepung skim.
Kekurangannya boleh menyebabkan beberapa masalah seperti rabun malam, hilang selera makan, kulit kering dan kasar juga sistem imun menjadi lemah selain kekeringan mata.
Vitamin C pula perlu untuk membantu badan melawan jangkitan, mengurangkan risiko penyakit dan membantu penyerapan ferum.
Antara lain, ia boleh didapati daripada betik, jambu batu, kubis, oren, tomato dan mangga.
Kekurangan vitamin ini boleh menyebabkan kurang selera makan, skurvi, gusi berdarah, keletihan dan kemurungan.
Kalsium sangat diperlukan bukan hanya untuk mengekalkan kesihatan gigi dan tulang malah ia membantu untuk mengurangkan kehilangan jisim tulang.
Ia juga membantu dalam pembentukan dan pemeliharaan tulang, mengekalkan imbangan homeostasis kalsium, membantu dalam pembekuan darah secara normal juga mengekalkan fungsi saraf dan kawal atur otot jantung.
Sumber kalsium antara lain termasuk dadih, tauhu, kailan, bayam, keju, susu soya, badan dan ikan bilis tanpa kepala.
Ramai yang mungkin terlepas pandang zat besi sedangkan ia diperlukan badan untuk menghasilkan sel darah merah, mengangkut oksigen dalam badan juga penting untuk fungsi otak terutama bagi pembelajaran dan daya ingatan.
Antara sumber zat besi termasuk kerang, peria, kacang kuda, bayam, ayam, daging lembu tanpa lemak, kismis, telur dan ikan bilis.

Share on Google Plus

About kraiboy

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan