Kaedah terbaik atasi ulser


Ada yang memanggilnya pecah mulut atau mata ikan. Hakikatnya rasa pedih apabila mengunyah makanan atau ketika menelan minuman antara ciri yang dirasai apabila individu itu mempunyai ulser dalam mulut.
Mungkin ia perkara biasa bagi sesetengah individu kerana sesiapa saja tidak mengira jantina dan usia boleh mendapat ulser sama ada di lidah, dinding dalam mulut atau sekitar tekak.
Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, walaupun ulser boleh diubati dan tidak berlarutan untuk tempoh lama, faktor penyebab masih tidak dikenal pasti. Ada beberapa kajian perubatan menyatakan tekanan atau kecederaan antara punca ulser.
“Ada pula berpendapat beberapa makanan berasaskan buah-buahan sitrus atau berasid boleh mengakibatkan ulser atau menjadikannya lebih teruk.
“Dalam pada itu, berus gigi yang tidak bersesuaian atau berkualiti kadangkala boleh juga menjadi penyebab ulser,” katanya.
Menurutnya, apabila berlaku ulser, seseorang mengalami beberapa tanda seperti bengkak kecil yang pedih di bahagian mulut terutama di sekitar lidah, dinding mulut, lelangit atau tekak.
“Bengkak terbabit berwarna keputih-putihan atau kelabu dan terdapat lingkaran merah di sekitarnya. Ulser amat memedihkan dan kadangkala kesakitan dialami memberi kesan kepada produktiviti seharian. Jika teruk, ada kala ia boleh menyebabkan demam dan kelesuan, apatah lagi bagi yang hilang selera makan kerana ulser.
“Rasa sakit, pedih dan perit sehingga kadangkala sukar untuk menelan atau mengunyah makanan pasti dirasai setiap kali ulser mulut menyerang.
“Ada juga ulser sukar atau mengambil masa agak lama untuk sembuh, bergantung kepada lokasinya dalam mulut. Keadaan itu mengganggu keupayaan untuk makan dan bercakap sehingga mengganggu emosi individu itu akibat menahan kesakitan,” katanya.
Dr Zubaidi berkata, selain ubatan yang boleh didapati di klinik atau farmasi, terdapat beberapa kaedah menggunakan bahan semula jadi yang boleh digunakan bagi merawat ulser.
“Boleh menggunakan madu dan minyak kelapa kerana madu ialah pelembap semula jadi. Ia membantu mengekalkan kelembapan dan mencegah dehidrasi. Ia juga membantu mengurangkan parut dan mempercepatkan proses pertumbuhan tisu baru,” katanya.
Madu juga bersifat antimikrob yang dapat mempercepatkan penyembuhan ulser mulut. Caranya dengan menyapukan sedikit madu pada ulser mulut atau campurkan sedikit dengan kunyit yang ditumbuk untuk digunakan pada kawasan yang terjejas.
“Lakukannya secara konsisten sehingga ulser itu mulai sembuh. Penggunaan minyak kelapa dan air kelapa juga sangat berguna dalam merawat ulser mulut.
“Caranya berkumur dengan air kelapa kemudian sapukan sedikit minyak kelapa terus pada ulser mulut. Walaupun tidak dirawat, ulser mulut biasanya hilang dalam masa satu atau dua minggu, namun jika ulser tidak sembuh dalam masa berkenaan, ia mungkin petanda masalah yang lebih bahaya,” katanya.
Secara umumnya ulser memerlukan masa untuk sembuh dan tiada cara untuk menghilangkannya dengan segera. Dalam tempoh ini, elakkan makanan atau minuman yang boleh menambah kerengsaan. Cara ini akan membantu mempercepatkan penyembuhan, mengurangkan kesakitan dan merendahkan risiko ia berulang.
Peringatan
Ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko mendapat ulser mulut:
• Gunakan berus gigi yang lembut
• Minum minuman sejuk menggunakan penyedut minuman
• Makan makanan yang lembut
• Dapatkan pemeriksaan gigi/mulut secara berkala
• Amalkan pemakanan seimbang dan banyakkan minum air
Elakkan
• Makan makanan yang terlalu pedas, masin atau masam
• Makan secara tergesa-gesa
• Makan makanan yang keras
• Minum minuman yang terlalu panas atau berasid
• Terlalu kerap mengunyah gula-gula getah
• Menggunakan ubat gigi yang ‘kuat’ dan mengandungi sodium lauryl sulphat.
Bertemu dengan doktor berhampiran jika ulser mulut berlanjutan dan tidak sembuh melebihi tiga minggu atau kerap berulang. Begitu juga jika ulser menjadi lebih menyakitkan dan berwarna merah bagi mengenal pasti sekiranya terdapat masalah lain.

Share on Google Plus

About kraiboy

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan