Semaikan Kepentingan dan kesedaran Imunisasi


TATKALA anak-anak membuat persiapan untuk kembali ke sekolah, ibu bapa bukan hanya perlu memastikan kelengkapan alat tulis dan buku mereka, malahan perlu memastikan mereka lengkap dan bersedia dari segi kesihatan dan imunisasi.
Ini adalah antara perkara yang akan ditekankan dalam forum mengenai Imunisasi, yang bakal dibincangkan di Women and Children Wellness and Safety Awareness Week pada minggu yang akan datang.
Program ini diterajui oleh Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM), dianjurkan bersama Pusat Pakar Perubatan UiTM dan Persatuan Pelajar Perubatan UiTM (MESTA).
Program yang akan berlangsung selama 6 hari ini menyasarkan untuk mewujudkan kesedaran awam selain sebagai inisiatif pencegahan dan peningkatan kesejahteraan ibu dan kanak-kanak.
Pengarah program, Pakar Kanak-Kanak dan pensyarah Klinikal di Fakulti Perubatan UiTM, Dr Norashikin Mohd Ranai berkata, tujuan utama program ini adalah untuk memastikan ibu bapa mendapat informasi mengenai kepentingan imunisasi untuk anak-anak mereka.
"Imunisasi bukan sahaja melindungi diri mereka, malah memberi imuniti atau kekebalan dalam kelompok sosial. Terdapat banyak anggapan yang salah berkenaan ini, dan kami terpanggil untuk membimbing ibu bapa untuk mendapatkan kefahaman sebenar dan tulen mengenainya bagi membuka minda mereka untuk menerimanya, daripada cuma bersandarkan kepada maklumat dan artikel dari internet," katanya lagi.
Dr Norashikin berkata, ibu bapa boleh mendapatkan nasihat dan konsultasi daripada doktor dan pakar yang akan hadir pada hari program itu bagi melangsaikan segala keraguan berkaitan kesihatan ibu dan anak.
"Sebagai contoh, jika anak anda terlepas satu daripada suntikan imunisasi, atau tidak pernah langsung disuntik, masih belum terlambat untuk memulakannya. Ia dipanggil imunisasi lanjutan, di mana kita boleh memulakan semula jadual imunisasi anak itu berdasarkan umurnya," katanya.
Program yang akan mula berlangsung pada 26 September sehingga 1 Oktober ini akan dimuatkan dengan rencana berkenaan kehamilan, imunisasi & vaksin, selain daripada jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak di atas talian.
Antara subjek yang akan dibincangkan adalah persediaan kelahiran, kaunseling, persediaan sebelum & selepas mengandung, ultrasound, keselamatan ketika mengandung, keselamatan ketika di rumah, serta imunisasi untuk kanak-kanak dan remaja.
Antara aktivitinya pula adalah demonstrasi teknik urutan untuk bayi, penyediaan makan bayi, dan lain-lain lagi. Anak-anak juga berpeluang untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri yang memberi mereka asas untuk mengelakkan kejadian jenayah seperti culik.
Peserta yang hadir boleh mengambil peluang untuk menyertai kursus pertolongan cemas (CPR) secara percuma, bagi mendalami ilmu pengetahuan penyelamat dan pertolongan awal yang akan berjalan selama dua hari. Sijil penyertaan juga akan disertakan.
Barisan penaja utama program ini terdiri daripada Daya Cergas (M) Sdn Bhd, Prudential BSN Takaful, Wildan, Bioinfinity, Dapur Penyet dan McDonalds. Organisasi yang menyertai bersama pula adalah dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Universiti Putra Malaysia, Safe Kids Worldwide (UPM), Shefights Malaysia, Women's Aid Organisation, Doctorbudak.com, Monsters Among Us, Persatuan Kesihatan Ibu dan Bayi Malaysia (MAMANEH), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya.
Bagi medapatkan maklumat lanjut berkenaan program ini, pengunjung boleh melayari akaun Instagram @wch.uitm atau Facebook Page Women and Children Wellness and Safety Awareness Week.

Share on Google Plus

About kraiboy

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan