Apa penyebab anak liat ke sekolah


Menangis setiap pagi, ada pula yang memberikan alasan seperti sakit perut atau demam malah ada tidak mahu bangun apabila dikejutkan.
Situasi itu pasti memeningkan ibu bapa terutama apabila ia terjadi kepada anak sulung yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan atau prasekolah.
Walaupun sesi persekolahan sudah sampai ke pertengahan, masih ada segelintir kanak-kanak yang belum terikat hatinya dengan suasana di tadika. Masih ada yang menunjukkan pelbagai ragam saat disiapkan untuk ke sekolah. Tentu saja ibu bapa tidak sedap hati meninggalkan anak di sekolah apabila melihat wajahnya yang muram atau bergenang air mata.


Mereka mungkin takut atau rasa tertekan untuk ke sekolah disebabkan pelbagai masalah di sekolah. Kadangkala ada segelintir ibu bapa mengambil ringan tekanan yang dialami anak dengan menganggapnya sebagai perkara biasa. Bagaimanapun, sebaik-baiknya cuba fahami mengapa anak bersikap demikian kerana sikap tidak peduli anda bukan saja menjejaskan emosi si kecil malah ia mungkin ada kaitan dengan masalah kesihatannya.
Pasti ada sebab si kecil anda tidak mahu ke sekolah. Mereka mungkin tidak sukakan guru yang garang, dibuli rakan, takut berpisah dengan ibu dan bapa dan pelbagai alasan lain.
Sebagai ibu bapa, anda perlu selidiki punca masalah dan carilah jawapannya. Berikut enam langkah yang boleh diikuti ibu bapa yang mempunyai masalah anak enggan ke sekolah:
1. Seelok-eloknya sebelum sesi persekolahannya bermula, anda sudah mendedahkan kepada anak dengan cerita mengenai sekolah baru supaya emosinya lebih bersedia.
Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah seperti ada ramai kawan, guru yang baik dan adanya taman permainan di sekolah.
2. Ibu bapa perlu cekal apabila menghantar dan meninggalkan anak di sekolah kerana emosi kita juga banyak mempengaruhi emosi anak.
3. Cuba berfikiran positif dan elak daripada menunggu anak di dalam kelas terlalu lama kerana menunggu terlalu lama akan hanya menyukarkan proses penyesuaian si anak. Tinggalkan saja anak sebaik menghantarnya ke tadika atau sekolah walaupun dia menangis.
Jangan terlalu bimbang kerana biasanya anak akan diam selepas ibu atau bapa mereka pulang.
4. Pastikan juga kita tidak lewat mengambil anak pulang dari sekolah atau tadika terutama pada minggu pertama.
Biasanya kanak-kanak berasa takut apabila melihat kawan sudah pulang, namun mereka masih menunggu.
5. Beri ganjaran kepada anak yang tidak mahu ke sekolah dengan sesuatu yang disukai sekiranya dia rajin ke sekolah. Bagaimanapun, elak daripada mengumpan anak dengan hadiah atau mainan yang mahal. Teruslah menghantar anak ke tadika secara konsisten. Tidak konsisten akan melambatkan proses penyesuaian.
6. Buat kerja rumah dan ulang kaji bersama mereka. Tanya mengenai aktiviti, kawan di sekolah dan seumpamanya. Tunjukkan minat dan sokongan anda terhadap persekolahannya.
7. Jika ada rezeki lebih, buat jamuan ulang tahun anak di sekolah. Tidak perlu belanja besar, hidangan seperti bihun goreng dan buah yang dicucuk pada lidi sudah memadai untuk meraikannya dan merapatkan hubungannya dengan rakan sebaya.

Share on Google Plus

About kraiboy

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan