Cara Tangani si kecil Mengamuk


Kerenah bersama anak yang masih kecil pastinya memberi satu pengalaman berbeza dan menguji tahap kesabaran kedua-dua ibu bapa terutama apabila si kecil mula ‘tunjuk perangai’ ketika berkunjung ke rumah kenalan atau saudara- mara.
Ada di antara mereka yang mengamuk dengan dahsyat, menjerit sekuat hati, menangis tanpa sebab dan ada yang secara tiba-tiba berbaring di mana saja apabila kehendaknya tidak dituruti.
Situasi itu pastinya menduga kesabaran ibu bapa terutama ketika menghadiri majlis2 kenduri atau pun majlis2 keramaian.
Menurut Perunding Kanan (Pendidikan & Keibubapaan) Ikhwah Training & Resources Nur Firdaus Abdul Razak, anak kecil yang mengamuk adalah sesuatu yang boleh dianggap normal dalam perkembangan awal mereka.
Menurutnya, ada anak mengamuk apabila tidak memperoleh apa yang dikehendakinya dan ada juga yang mengamuk kerana terlalu rimas dengan keadaan persekitaran ketika itu.


“Fenomena mengamuk ini lazim berlaku kepada kanak-kanak yang berusia di antara 18 hingga 36 bulan dan kemuncaknya adalah pada usia 24 bulan ke atas.
“Mengapa keadaan ini berlaku? Ramai ibu bapa yang masih terkeliru dengan fenomena mudah mengamuk ini atau tantrum dan akhirnya membuatkan ibu bapa berasa marah dan merumitkan lagi keadaan si anak,” katanya.
Menurut Nur Firdaus, ada dua jenis tantrum iaitu ‘Temper Tantrum’ (TT) apabila anak tertekan kerana tidak dapat meluahkan apa yang dirasai dan ‘Sensory Meltdown’ (SM) iaitu mereka tertekan kerana persekitaran yang melampau.
“Perlu kita fahami tidak semua keadaan mengamuk itu adalah TT kerana ada juga yang berkait dengan fenomena SM atau mungkin juga sekadar amukan biasa yang berlaku pada semua kanak-kanak.
“Kita jarang membincangkan mengenai SM ini. Berbeza dengan TT, ia banyak dibincangkan melalui penulisan, segmen di televisyen mahupun di media,” ujarnya.
Tambahnya, bagaimana untuk menentukan yang manakah TT, SM atau sekadar amukan biasa? Sebagai ibu bapa, apa yang paling utama adalah perlu meneliti punca anak mengamuk ketika itu.
“Sama ada ia berkaitan dengan rasa tertekan kerana tidak dapat apa yang diinginkan atau disebabkan terlalu banyak input daripada persekitaran seperti bunyi, cahaya dan sebagainya. Semua itu penting kerana melalui punca, amukan itu dapat diatasi dengan kaedah sesuai,” katanya.
Apakah itu TT?
TT adalah satu bentuk luahan perasaan kanak-kanak apabila mereka berasa sangat tertekan semasa berdepan dengan keadaan tertentu. Ia adalah satu ledakan emosi yang boleh diterjemahkan dalam pelbagai cara termasuk menjerit, berguling-guling, menendang-nendang, menghempas-hempas diri dan menahan nafas (dengan nafas berdengus).
Menurut Nur Firdaus, TT berlaku kerana ada keperluan atau keinginan yang tidak dipenuhi ketika itu. Potensi untuk TT berlaku lebih tinggi dalam keadaan kanak-kanak itu kelaparan dan keletihan.
“Jelas bahawa ia berlaku kerana ada sesuatu yang mereka ‘tidak dapat’ ketika itu, tetapi mengapa ia sampai ke tahap mengamuk?
“Keperluan dan kehendak anak kecil kita akan terus berubah dan berkembang, seiring dengan pertambahan usia mereka. Walaupun masih kecil tetapi kanak-kanak tahu dan sedar bahawa mereka berbeza dengan orang lain,” ujarnya.
Nur Firdaus berkata, hakikatnya, TT juga boleh berlaku dalam situasi yang membabitkan keperluan. Rasa sangat lapar, letih dan tidak selesa juga boleh mencetuskan TT.
“Jangan terkejut, TT juga boleh tercetus apabila sesuatu yang berlaku di persekitaran mereka, tidak berlaku seperti yang dikehendaki atau dijangkakan.
“Malah, anak saya sendiri, Uwaees pernah mengalami TT hanya kerana tidak dapat membuka pintu belakang van permainannya yang memang tidak boleh dibuka,” katanya.
Apakah pula SM?
Menurutnya, SM juga adalah ledakan emosi seorang kanak-kanak yang sangat tertekan dengan keadaan yang sedang dihadapinya.
“Bentuk luahannya mungkin berbeza sedikit dengan TT, di mana kanak-kanak yang sedang menghadapi SM mungkin akan meluahkannya melalui tingkah laku agresif seperti TT, ataupun melalui tingkah laku bukan agresif seperti melarikan diri, menekup muka atau berdiam diri.
“SM berlaku kerana kanak-kanak merasakan ada terlalu banyak perkara daripada persekitaran yang perlu diproses oleh deria mereka. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak kecil yang berjalan jatuh dibawa ayahnya ke sebuah majlis perkahwinan pada waktu tengah hari dan ketika itu kedengaran suara nyanyian yang sangat kuat.
“Pada ketika itu ada banyak perkara yang diproses deria iaitu bunyi bising dan bingit (pendengaran), rasa panas berbahang (rasa), kesesakan orang keluar masuk dan berlari (penglihatan), serta bau pelbagai makanan yang tidak pernah dihidu sebelum ini (bau),” ujarnya.
Menurutnya, keadaan itu diistilahkan sebagai limpahan deria (Sensory Overload) dan ia boleh membawa kepada SM. Sebagai tindak balas, kanak-kanak kecil itu mungkin akan melarikan diri, menekup muka (menutup semua deria), menangis sekuat-kuatnya atau mengeraskan diri.
“Dalam erti kata yang mudah, SM berlaku kerana kanak-kanak kecil itu rasa serabut dan sangat rimas dengan persekitaran mereka ketika itu.
“Keadaan ini juga boleh terjadi ketika musim perayaan apabila kanak-kanak kecil ini dibawa berkunjung ke banyak rumah yang akhirnya membuatkan mereka serabut dan kepenatan,” katanya.
Jadi, sekarang kita tahu ada tiga punca utama yang menyebabkan kanak-kanak mengamuk iaitu tidak mendapat apa yang diingini, keadaan tidak berlaku seperti yang diharapkan, serta tidak mampu menghadapi suasana persekitaran yang ‘berat’ bagi mereka.
Terdapat juga sebab lain seperti rasa kurang berpuas hati dan sebagainya namun ia tidak sampai menimbulkan TT dan SM.
Cara menghadapinya
Ibu bapa perlu jelas perbezaan antara TT dengan SM kerana puncanya adalah berbeza dan kaedah menanganinya juga tidak sama. Berikut adalah cara yang boleh dilakukan semasa menghadapi anak yang sedang mengamuk:
1. Bertenang. Tiada apa yang serius pada tantrum. Ia hanyalah satu ledakan emosi. Jika anda berasa marah melihat kelakuan anak, sebaiknya tinggalkan dia seketika namun pastikan dia dalam keadaan selamat.
2. Biarkan anak (ikut keadaan). Seperti orang dewasa, setiap kanak-kanak kecil adalah berbeza. Ada yang sesuai ditinggalkan sebentar semasa tantrum, dan ada yang lebih perlu dipeluk erat untuk meredakan tekanan mereka.
3. Peluk erat, berdoa dan ucap sayang. Sama ada kita memeluk selepas membiarkan anak atau terus memeluknya, jangan jadikan ia pelukan yang kosong. Bacalah doa yang sesuai seperti ayat-19 Surah asy-Syura adalah antara yang ringkas dan mudah dihafal. Kemudian ucapkanlah bahawa kita betul-betul sayangkan mereka.
4. Kekal memeluk sehingga anak tenang. Tantrum sebenarnya menggunakan banyak tenaga dan kekuatan anak.
5. Bantu dan galakkan anak untuk tenangkan diri sendiri. Minta anak duduk, atau berbaring, ambil nafas yang panjang dan pegang tangan.
6. Jangan terlalu memberi apa yang anak mahukan daripada tantrum tadi terutama jika ia disebabkan keinginan mendapatkan permainan, makanan ringan dan seumpamanya kerana anak boleh memanipulasi ibu bapa pada masa akan datang.
7. Terus beri apa yang diinginkan daripada tantrum tadi jika ia adalah keperluan seperti makanan, minuman dan rehat.
Panduan untuk menghadapi anak yang sedang SM:
1. Jangan sesekali meninggalkan atau menjauhi anak. Minda anak sedang berkecamuk, maka dia perlukan ketenangan.
2. Kenal pasti apakah yang membuatkan minda anak berkecamuk. Secara teorinya, kita perlu kenal pasti deria mana yang terlalu banyak digunakan. Mungkin telinga yang terlalu banyak terima bunyi atau cahaya terlalu terang yang mengganggu penglihatannya atau imej yang mengganggunya
3. Jauhkan anak daripada suasana yang boleh membuatkan anak tertekan. Bawa ke tempat yang boleh menenangkan anak.
4. Minimumkan rangsangan deria. Senyapkan keadaan, kurangkan cahaya dan nyamankan suhu persekitaran (sekiranya panas).
5. Berikan masa kepada anak untuk mencapai semula keadaan tenang secara semula jadi.

Share on Google Plus

About kraiboy

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan