Fibroid Wanita subur lebih berisiko




Fibroid bukan kanser dan tidak akan menjadi kanser. Wanita yang dalam usia subur berpotensi untuk mendapat fibroid. Ramai yang tidak mempunyai simptom disebabkan saiz fibroid berkenaan yang tidak membahayakan. Seramai 20 hingga 80 peratus wanita mempunyai masalah ini seluruh dunia.
Bagaimanapun hanya sebilangan kecil yang mempunyai komplikasi atau masalah akibat fibroid. Tidak semuanya memerlukan pembedahan untuk membuang fibroid. Fibroid adalah bengkak yang berlaku pada lapisan otot rahim anggota peranakan wanita.
Ia adalah sel otot pada rahim berkenaan. Oleh itu, fibroid dikatakan ada hubung kait dengan perubahan hormon wanita iaitu estrogen. Wanita dalam usia subur berisiko mempunyai fibroid terutama bagi yang mengalami obesiti dan mempunyai sejarah keluarga fibroid.
Simptom fibroid ini berbeza bergantung pada saiz dan lokasi fibroid pada rahim wanita. Kebanyakannya tidak mempunyai simptom. Ada yang sakit ketika haid ataupun darah sangat banyak ketika haid. Ada juga wanita dengan fibroid ini keluar darah haid terlalu awal iaitu antara haid yang berikutnya.
Jika saiz besar sedikit, ia boleh menyebabkan sakit belakang dan gangguan pada pundi kencing yang terletak bersebelahan dengan rahim. Pesakit akan lebih kerap membuang air kecil. Jika saiznya besar, atau lokasi terletak di bahagian atas rahim, ada kala ia boleh dirasa pada kawasan ari-ari.
Pemeriksaan fizikal tidak memadai jika saiz fibroid tidak terlalu besar. Pemeriksaan menerusi ujian ultrabunyi lebih membantu untuk melihat dengan jelas lokasi dan juga saiz fibroid.
Dari situ, kaedah rawatan dapat ditentukan. Dalam kebanyakan kes, pesakit akan dipantau melalui ujian ultrabunyi berkala. Ubat untuk mengurangkan sakit dan juga memperlahankan darah haid yang keluar boleh diberi setiap kali datang bulan. Ada juga pesakit diberi pil hormon sebagai kaedah rawatan untuk mengecutkan fibroid itu.
Jika saiz fibroid agak besar, pilihan rawatan ialah dengan membuat prosedur yang dapat mengganggu bekalan darah sampai ke kawasan fibroid yang dipanggil embolisma salur darah arteri.
Pembedahan membuang fibroid juga dapat dilakukan. Jika saiz terlalu besar dan mengancam nyawa, keseluruhan rahim perlu dikeluarkan melalui pembedahan.

Share on Google Plus

About kraiboy

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan